30.1.11

Gulai oh gulai

Pada hari ini, aku bersama adikku bergotong-royong mengemas almari buku di ruang tamu rumah. Aku mengarahkan adikku yang berumur sembilan tahun untuk menyusun buku-buku tersebut mengikut kategori iaitu bahasa arab,pendidikan Islam atau hal-hal agama, sains dan matematik, sastera dan bahasa melayu, serta akhbar dan keratan-keratan majalah. Sambil mengemas buku-buku tersebut aku dan adikku mengambil kesempatan untuk membaca. Sedang aku membelek dan membaca buku yang bertajuk Hadis Modal Insan adikku menghulurkan sekeping kertas yang merupakan keratan akhbar. Keratan akhbar tersebut bertajuk gulai. Setelah aku membaca keratan akhbar tersebut aku bertanya kepadanya, "kenapa adik bagi kertas ni?". Adikku menjawab, "berbezakah gulai orang Pahang dengan gulai negeri lain?". Aku memberikan senyuman kepada adikku lalu menjawab "ada". Aku pun menceritakan kembali cerita yang ditulis dalam keratan akhbar tersebut.
ceritanya begini:
Terdapat sepasang suami isteri yang baru berkahwin. Pada suatu hari, Si suami yang berasal daripada Kedah telah menyuruh si isteri memasak gulai ikan. Si isteri pun memasak apa yang telah diarahkan oleh Si suami. Si isteri pula berasal daripada negeri Pahang. Setelah siap memasak isteri menghidangkan masakan tersebut dan memanggil si suaminya. Apabila si suami melihat masakan tersebut berlakulah perbualan seperti di bawah:

Si suami: Awak ni, tak pandai masak ke? saya suruh awak masak gulai ikan bukan masak masakan macam ini.
Si Isteri: apa pulak abang ni? betul la tu, abangkan suruh saya masak gulai ikan.
Si suami: Abangkan dah belikan rempah kari untuk buat gulai. 
Si isteri: Oo... maksud abang, masak kari ikan. 
Si suami: ye la. habis tu awak ingat saya suruh masak macam mana?
Si Isteri: (hanya tersenyum) dan faham lalu dia menerangkan hal yang sebenar kepada suaminya.

Ulasan: 

berdasarkan dialog di atas, di dalam masyarakat Malaysia, bukan sahaja di dalam pertuturan sahaja menggunakan dialek yang sama maksud yang berbeza, namun nama masakan juga turut berbeza. Gulai di negeri Pahang adalah masakan yang menggunakan santan dan kunyit.  Manakala, di Utara iaitu di negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang gulai adalah kuah santan yang dicampur dengan kari. Walaupun negara kita berbeza kaum, budaya, atau nama masakan tetapi kita tetap bersatu hati.

29.1.11

Tabiat atau tebiat?

Pada sebelah petang, aku telah pergi ke Akademi Memandu Warisan Jengka Sentral untuk belajar memandu kereta. Cikgu memandu aku merupadakan seorang pemuda yang berumur 28tahun. Cikgu tersebut merupakan seorang lepasan Universiti. Sewaktu dalam sesi pembelajaran memandu kereta, cikgu tersebut telah bertanya kepada aku perbezaan perkataan tabiat dengan tebiat. Aku menerangkan kepadanya bahawa tabiat dan tebiat merupakan perkataan yang sama tetapi membawa maksud yang berbeza. Tabiat ialah bahasa baku dalam bahasa Melayu tetapi tebiat adalah penggunaan dialek yang mengubah ejaan tabiat kepada tebiat tetapi mengubah makna. Tabiat bermaksud kebiasaan manakala tebiat membawa maksud mengarut atau sesuatu perkara yang bukan kebiasaan. Contoh ayat, "tebiat apa kamu ni? cuaca panas begini pakai baju tebal?".  Selain itu juga tebiat juga sama erti dengan tabiat atau tabii.


Ulasan:
Tabiat menurut Kamus Dewan ada dua maksud iaitu
1) Sifat batin seseorang yang mempengaruhi fikiran atau perbuatan, perangai, budi pekerti atau watak.
2) Perbuatan yang selalu dilakukan atau tingkah laku.


27.1.11

"Ngeteh"

Ketika di kelas pada pagi tadi iaitu ketika di kelas Sosiolinguistik, salah seorang sahabatku telah dipanggil ke hadapan untuk menceritakan lukisan yang telah dilukis olehnya. Dia telah menceritakan pelbagai perkara dan menjawab soalan yang dikemukakan oleh sahabat-sahabat yang lain. Sahabat saya ini juga telah disoal oleh pensyarah dan juga sahabat yang lain tentang bagaimana dia memperkenalkan bakal suaminya dengan ayahnya. Sewaktu sahabat saya bercerita, dia telah menyelitkan satu satu perkataan yang jarang digunakan iaitu "ngeteh". Apakah itu ngeteh? menurut sahabat saya, kebiasaannya orang jawa yang menggunakan perkataan "ngeteh" yang bermaksud minum air tidak kiralah air milo, teh susu, kopi atau sebagainya. Ketika itu juga saya teringat penggunaan perkataan tersebut di dalam golongan anak muda di kampung saya juga menggunakan perkataan tersebut. Tetapi mereka menyatakan bahawa "ngeteh" adalah melepak atau bersantai di warung. Apabila saya bertanya kembali kepada sahabat saya, asal perkataan ngeteh ini adalah daripada dialek Jawa.

Ulasan:
 Penggunaan dialek atau sesuatu perkataan turut digunakan oleh seluruh masyarakat jika sesuatu perkataan itu diterima penggunaannya oleh setiap lapisan masyarakat walaupun dari pelbagai kaum.

25.1.11

Semalam, Kelmarin


Di waktu petang yang hening, iaitu pada petang tadi aku bersama teman-teman serumah duduk berkumpul di ruang tengah rumah dan berbual-bual. Sedang kami berbual tentang pelbagai cerita tiba-tiba, salah seorang daripada kami bertanya iaitu Si A, “apa beza semalam orang Kelantan dan Perlis dengan semalam orang pahang? Apa pula beza kelmarin?” Salah seorang daripada kami merupakan orang Perlis lalu dia menjawab “ Semalam mengikut orang kawasan kami biasa gunakan adalah hari semalam iaitu hari sebelum hari ini bermula dari jam 8.00 malam hingga 12.00 malam. Manakala Kelmarin pula adalah bermula daripada jam 7.00 pagi hingga 7.59 malam pada hari sebelum hari ini”. Lalu Teman serumah kami ayng berasal dari negeri Kelantan pula bersuara “ya, samalah dengan orang Kelantan”. Aku dan seorang lagi teman yang berasal dari Pahang pula menjawab, “kami di Pahang menggunakan perkataan semalam yang merujuk kepada hari sebelum hari ini”. Temanku menyambung peneranganku pula “kelmarin pula adalah hari sebelum semalam”.  Lalu Si A yang bertanya tersebut hairan dan dia bertanya lagi “yang mana satu betul?”. Beginilah, kita tengok pada kamus dewan. 

Ulasan:
Penggunaan sesuatu perkataan dalam dialek kadangkala terdapat persamaan penggunaan perkataan tetapi membawa maksud yang berbeza. Contohnya melalui situasi perbualan saya dengan teman-teman serumah yang membincangkan tentang penggunaan kata semalam dan kelmarin masyarakat di negeri Pahang dengan Masyarakat yang tinggal di Negeri Kelantan dan Perlis. Namun menurut Kamus Dewan, Semalam bermaksud hari sebelum hari ini.

24.1.11

Klinik

Hari ini sakitku makin menjadi-jadi, aku tidak dapat menghadirkan diri ke kelas pada pagi itu. Pada sebelah petang, iaitu pada jam 1.00 petang aku bersiap-siap untuk ke kelas kerana badanku yang tadinya sakit-sakit sedikit pulih. Pada petang itu, kelas tidak dijalankan tetapi digantikan dengan program yang membincangkan isu novel Interlok. Program tersebut diadakan di Perpustakaan Tuanku Bainun. Tidak beberapa lama aku berada di dalam perpustakaan tersebut, sakitku menyerang kembali. Aku mengajak sahabatku untuk menemankan aku untuk ke pusat kesihatan. Sampai sahaja di kaunter, jururawat yang menjaga kaunter bertanya, "Ya, nak jumpa doktor?". Lalu aku menjawab, "ya" sambil menghadiahkan sekuntum senyuman, tapi yang aku dan sahabatku dapat hanya jelingan. Jururawat tersebut memberikan arahan supaya aku meletakkan kad matrik di dalam bekas yang disediakan dan mengambil angka giliran. Setelah itu, aku dan sahabatku pergi ke ruangan menunggu dan duduk di atas kerusi yang disediakan. Tidak jauh daripada kami terdapat beberapa orang pelajar yang juga sedang menunggu giliran. Pmeriksaan yang dijalan terdapat tahap kesihatanku mengambil masa yang lama kerana aku perlu menjalani pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas. Sewaktu aku diperiksa oleh doktor, pelbagai soalan yang diajukan kepadaku. Aku menjawab serba sedikit dan menerangkan serba sedikit tentang kesakitan yang aku alami. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor tersebut telah memberikan serba sedikit penerangan tentang keadaan sakit yang aku alami. Namun apa yang mneyedihkan aku, penerangan yang diberikan semuanya menggunakan istilah Bahasa Inggeris. Alhamdulillah aku dapat memahami serba sedikit tentang penerangan yang diberikan kerana aku telah kerap melakukan pemeriksaan tersebut. Namun, berbeza dengan hospital yang sentiasa aku terima rawatan yang merupakan hospital swasta, doktor tersebut menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya untuk memberikan penerangan kepada pesakit tentang penyakit yang dialami oleh pesakit. 


Ulasan: 
Di dalam situasi tersebut, saya dapat memerhatikan bahawa kebanyakan Istilah-istilah perubatan sukar untuk dijelaskan dalam bahasa Melayu. Bagaimana pula, jika pesakit terdiri daripada masyarakat kampung, tidak memahami atau menguasai bahasa Inggeris atau istilah perubatan.Dapatkah mereka memahami penerangan daripada doktor tentang penyakit yang dialaminya, jika doktor tersebut hanya menggunakan bahasa Inggeris? Seharusnya, seorang yang profesional tentunya ada cara mereka tersendiri untuk berkomunikasi dengan pesakit yang terdiri daripada pelbagai ragam dan pelbagai taraf.

22.1.11

Pasar Malam

Pada petang tadi aku bersama sahabatku telah pergi ke pasar malam di Pekan Tanjong Malim. Sebelum itu kami telah menunggu bas di perhentian bas Kolej Ungku Omar. Aku melihat jam ditanganku, jarum jam menunjukkan tepat jam 3.30 petang. Bas yang dinanti telah tiba lalu, aku dan Su menuju ke pintu bas untuk menaiki bas. Su telah sempat naik dahulu ke dalam bas. Sewaktu aku sedang mengangkat kaki ingin melangkah naik ke tangga bas tiba-tiba aku terasa badanku ditolak, nasib aku baik kerana aku tidak terjatuh. Dengan akal yang masih rasional aku memberikan ruang kepada pelajar tersebut untuk naik terlebih dahulu. Pelajar tersebut tersenyum dan memohon maaf lalu mengucapkan terima kasih. Aku fikir mungkin pelajar tersebut tidak perasan akan aku yang berbadan kecil ini.

Ulasan:

Walaupun seseorang melakukan kesilapan, janganlah kita terus memarahi atau mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. Kita manusia yang sering terlupa, terkadang melakukan kesilapan. Begitu diri kita yang  juga manusia, mudah melakukan kesilapan. Maka kita haruslah bertoleransi dan maaf bermaafan.

21.1.11

Seminar

Hari yang penuh bersemangat. Kenapa? hari ini aku rasakan hari yang bermakna kerana aku bersama sahabat-sahabatku akan mengikuti sebuah seminar yang bertajuk Isu-isu Sosiolinguistik Bahasa Melayu Semasa yang disampaikan oleh Profesor Adjung Universiti kami iaitu Profesor Dr. Awang Sariyan. Seminar tersebut telah bermula pada jam 9.00 pagi, bertempat di Dewan Seri Tanjung Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau telah membincangkan penggunaan bahasa SMS yang banyak digunakan pada masa sekarang dengan meluas. Antara bahasa SMS yang digunakan adalah leh, tanak, sape dan chat. Selain daripada itu juga, penggunaan bahasa yang dicampuradukkan dengan bahasa asing seperti leh join dan study ke

Ulasan:
Saya berasa bersyukur kerana diberi peluang untuk bertemu dan mendengar seminar yang telah dianjurkan oleh pensyarah Sosiolinguistik kami Dr. Siti Saniah. Hal ini kerana, dengan adanya seminar seperti ini akan dapat meluaskan pengetahuan dan membuka minda kami untuk lebih banyak berfikir tentang masalah yang dihadapi oleh masyarakat tentang penggunaan bahasa. Contohnya penggunaan bahasa SMS sememangnya sangat meluas digunakan oleh masyarakat kita. Malahan kami juga kadang kala menggunakan bahasa SMS dan bahasa rojak kerana bahasa tersebut telah sebati dalam diri kami. Akan tetapi, kita haruslah sedar bahawa untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kita, maka seharusnya kita menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dengan baik dalam penggunaan seharian kita. Majulah bahasa kerana bangsanya. Cintailah bahasa kebangsaan kita, bahasa ibunda, bahasa Melayu milik kita semua.

20.1.11

Jalan-jalan

Aquaria KLCC


Hari ini hari Khamis, merupakan Cuti sempena sambutan Hari Thaipusam dan aku mengambil kesempatan pada hari ini untuk pergi berjalan-jalan. Tepat jam 9.00 pagi aku menaiki kereta menuju ke Air Terjun Hutan Simpan, Batang Kali. Air Terjun Ini terletak di tepi jalan menuju ke Genting Highland. Airnya yang sejuk, kawasannya yang aman dan nyaman sangat indah  dan menarik untuk sesiapa sahaja yang ingin merehatkan minda sambil mandi-manda. Perjalanan dari kolej ke Air Terjun tersebut mengambil masa selama 1 jam. Tiba di kawasan air terjun tersebut pada jam 10.15 pagi kerana keadaan sedikit sesak mungkin kerana waktu cuti yang menyebabkan orang ramai berkunjung ke sana. Setelah puas manda-manda, pada jam 1.00 petang aku pun menuju ke Kuala Lumpur, pada awalnya tujuan untuk ke Kuala Lumpur hanyalah untuk berjumpa dengan adikku di UTM Semarak, akan tetapi disebabkan adikku ingin pergi ke Batang Kali untuk bertemu dengan keluarga angkatnya maka aku hanya bertemu dalam masa yang singkat sahaja. Setelah bertemu dengan adikku, aku menuju ke bandaraya Kuala Lumpur. Aku telah pergi ke Menara KLCC untuk berjalan-jalan dan mengambil peluang untuk masuk ke Aquaria KLCC. Pertama kali masuk ke sana aku lihat ramai pengunjung yang terdiri daripada keluarga yang membawa anak-anak. Oleh kerana kali pertama aku berkunjung ke sana, maka aku masih tidak tahu di mana kaunter untuk membeli tiket. Disebabkan itu aku telah menuju ke kaunter pertanyaan untuk bertanya, bak kata orang tua-tua dulu malu bertanya sesat jalan. Oleh itu aku melangkah ke kaunter pertanyaan dan berlakulah sesi dialog antara aku dan penjaga kaunter:

Aku: Maaf, saya ingin bertanya di manakah kaunter pembelian tiket?
Penjaga kaunter: Cik jalan je depan sana nanti cik akan jumpa.
Aku: Hah! ( suara yang sedikit perlahan dan dengan rasa terkejut) tu saja? Nak belok kiri ke belok kanan?
Penjaga Kaunter: Saya dah terangkan tadikan cik pergi sajalah.

Aku pun berpusing dan melangkah untuk pergi. Tiba-tiba, seorang pengawal keselamatan datang menghampiri.

Pengawal: Maaf ye kak. Penjaga kaunter tu memang sombong sikit. biar saya tunjukkan kaunter tiket. 
Akak jalan terus dan akan jumpa pengawal di sana. Dia akan tunjukkan jalan masuk ke kaunter tiket.
Aku: Alhamdulillah, masih ada yang berbudi. ( aku memberikan senyuman kepada pengawal tersebut) Terima Kasih ya dik.

Tak kisahlah pengawal tersebut nak panggil aku akak pun. Agaknya muka aku ni sedikit matang. Apa yang penting pengawal tersebut sangat berbudi bahasa jika dibandingkan dengan wanita yang berada di kaunter pertanyaan tadi. Aku menuju ke jalan yang ditunjukkan oleh pengawal tersebut dan akhirnya aku bertemu dengan pengawal yang menjaga pintu masuk ke kaunter tiket masuk. Setelah membuat bayaran masuk, laluan masuk pertama aquaria tersebut terdapat pameran tiga jenis ikan di dalam tiga kolem kecil yang berasingan. Kolem yang pertama terdapat ikan pasir, yang kedua aku tidak pasti namanya dan yang ketiga juga ikan pasir namun coraknya yang berbeza. Di situ terdapat seorang petugas yang menerangkan keunikan ikan tersebut. aku berjalan sedikit ke depan dan aku lihat terdapat akuarium-akuarium kecil yang mempunyai ikan-ikan lain. Terdapat beberapa akuarium yang di letakkan tanda peringatan 'Bahaya". Hal ini kerana, ikan yang terdapat dalam akuarium tersebut adalah ikan Belut elektrik yang mengeluarkan tenaga elektrik yang sangat tinggi yang bahaya. setelah itu aku menuju lagi ke sebuah lorong yang mempunyai pelbagai jenis hidupan yang tinggal di dalam air. Yang paling menakutkan dan menggelikan aku adalah haiwan reptilia dua alam iaitu katak. Disebabkan terlalu takut aku terjerit agak kuat. kebetulan di lorong tersebut hanya ada aku berdua bersama temanku dan sebuah keluarga yang amat bahagia. Keluarga tersebut terdiri daripada lapan orang. Pasangan Suami Isteri dan enam orang anak-anaknya. Dua orang kanak-kanak lelaki dan empat orang kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak lelaki yang menyedari keadaan aku yang sedang takut dan geli itu ketawa sambil berkata "hahaha, kakak tu geli katak. Jom kita usik kakak tu" "Alamak, macam mana mereka perasan?" aku hanya berbisik. Namun telatah mereka tidak membuatkan aku marah atau berkecil hati kerana dalam masa yang sama mereka sangat peramah dan bersopan santun. Setelah mereka mengenakan aku dan mereka telah meminta maaf dan kata mereka, mereka hanya bergurau. Walaupun tidak mengenali mereka namun telatah mereka membuatkan aku bagaikan bersama keluargaku walaupun hanya dalam masa yang singkat. Aku dapat melihat bahawa ibu dan ayah mereka sangat pandai mendidik mereka.



Ulasan: 
Situasi ketika di kaunter telah menunjukkan bahawa masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak tahu untuk menggunakan cara berkomunikasi yang betul dan sopan apabila seseorang bertanya di kaunter. Benarlah kata Dr. Hj Zulkeflee ketika ucapan beliau semasa majlis perjumpaan yang lepas menyatakan bahawa, bengkel atau seminar tentang 'Budi Bahasa Budaya di Kaunter' perlu diadakan. Hal ini kerana, sesuatu perkara itu perlulah ditekankan dengan memberikan pengetahuan secara mendalam dan perkara seperti menggunakan bahasa yang sopan dan berbudi bahasa perlulah dikembangkan kepada mereka agar mereka dapat memperbetulkan kesilapan ketika melakukan kerja.

18.1.11

Penuh, Penat dan Padat

Hari ini merupakan hari yang sangay sibuk dan padat dengan kelas pertama yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga jam 10.00 pagi. Setelah tamat kuliah pertama pada jam 9.50 pagi aku bersama sahabat-sahabat bergegas menunju ke hentian bas untuk menunggu bas ke Proton City seperti biasa untuk kelas yang seterusnya. Seperti biasa, apabila bas yang ditunggu-tunggu tiba, aksi berebut-rebut menaiki bas akan bermula. Setelah dihimpit dan ditolak akhirnya aku berjaya menaiki bas namun aksi berebut pada hari dan waktu tersebut tidaklah seganas pada waktu yang genting seperti jam 1.00 petang dan 6.30 petang yang merupakan waktu para pelajar berebut-rebut untuk pulang. Setelah lima minit berada di dalam bas, namun pemandu bas tersebut masih belum menggerakkan bas tersebut. Hal ini menjadikan pelajar-pelajar lain berada dalam kegelisahan kerana risau akan tiba lewat ke kelas yang seterusnya. aku dan sahabat-sahabatku tidaklah begitu risau atau gelisah kerana kelas seterusnya bermula pada jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang. tepat jam 10.20 pagi bas yang kami naik bergerak menuju ke Proton City (PC). disebabkan nasib yang baik aku bersama sahabatku dapat tempat untuk duduk. Terdapat juga pelajar-pelajar yang terpaksa berdiri di dalam bas. Sewaktu dalam perjalanan ke PC, banyak perkara yang aku lihat dan bualkan bersama sahabatku Su. Ketika bas tersebut ingin berhenti dan menurunkan kami, aku terdengar seorang pelajar yang berdiri berdekatan denganku berbual. Mereka berbual dengan menggunakan dialek Kelantan yang aku rasa 'pekat' namun aku masih dapat memahaminya. Dalam masa yang sama juga aku sempat melihat no kad matriknya dalam keadaan sekilas pandang. Mereka merupakan pelajar semester 2 ambilan Julai 2010/2011. Apa yang membuatkan hati aku tertarik untuk menceritakan kerana berlaku perbualan yang berbunyi seperti dialog dibawah:

 Pelajar A:  Pening palo aku gak. bah ni duk ghak-ghak. Tok buleh ko beghenti leklok sikit gak.
 Pelajar B:  Ho la. aku pun samo pening palo. Tok tahu bawok bah ko dreba ni.

Lebih kurang begitulah perbualan mereka. Apa yang menarik perhatian aku adalah perkataan 'ghak-ghak' yang digunakan oleh pelajar A sedikit melucukan walaupun begitu itulah hakikatnya penggunaan bahasa dialek yang bermacam ragam mengikut negeri atau kawasan-kawasan tertentu.

Kelas seterusnya dari jam 2.00 petang hingga jam 7.00 petang. Namun begitu, kelas yang terakhir tamat awal 40 minit kerana kami masih belum menunai kewajipan agama iaitu menunaikan solat asar. Setelah menunaikan solat disurau yang berdekatan, aku menuju ke perpustakaan untuk mencari sedikit bahan bacaan dan rujukan. Disebabkan pada jam 8.00 malam akan diadakan majlis "Perjumpaan Bersama Penasihat Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU)", maka aku mengambil keputusan untuk terus berada di kampus. Perjumpaan ini adalah bersama penasihat persatuan kami iaitu Dr. Hj Zulkeflee Bin Hj Yaacob. Disebabkan aku merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa PERBAYU, aku perlu membuat persiapan awal untuk menyambut ahli-ahli persatuan yang datang ke majlis perjumpaan tersebut. Usai menunaikan solat Maghrib aku terus bergegas menuju ke Auditorium Utama untuk membantu sahabat-sahabat AJK yang lain melakukan persiapan tempat sebelum majlis bermula. Setelah sampai di Auditorium Utama, aku dapati hanya aku seorang sahaja yang berada di situ. Oleh itu, aku mengambil keputusan menunggu sementara. Tidak sampai tiga minit selepas itu, dua orang sahabatku sampai dan seterusnya sahabat-sahabat yang lain juga turut tiba, hatiku menjadi lega. Lalu aku terus bangun dan membantu sahabat-sahabatku melakukan kerja. Pada jam 8.30 malam, majlis bermula namun, kehadiran ahli yang terdiri daripada pelajar Program Pendidikan Bahasa Melayu amat mendukacitakan iaitu lebih kurang 44%  sahaja ahli persatuan yang hadir.

Ulasan: Berdasarkan peristiwa di dalam bas tersebut, saya dapat mengenal pasti sedikit sebanyak penggunaan dialek yang begitu kuat dalam pertuturan seharian masyarakat kita. Terutama apabila seseorang itu sedang berbual dengan seseorang yang juga berasal dari tempat yang sama. Perkataan 'ghak-ghak' yang dimaksudkan adalah bas yang ingin berhenti secara perlahan-lahan Selain itu juga, terdapat juga dialek yang menggunakan bahasa asing seperti bahasa Inggeris. Contohnya, 'dreba bah'  perkataan asalnya adalah driver  bas iaitu pemandu bas. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia haruslah menjaga setiap perkataan yang kita ucapkan agar tidak dicampur adukkan dengan bahasa asing.

Selain daripada itu juga kita haruslah mempunyai semangat yang kuat untuk menyertai sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan. Hal ini kerana, sesuatu majlis atau aktiviti yang dijalankan mempunyai banyak faedah kepada semua Mahasiswa dan Mahasiswi. Kehadiran sewaktu aktiviti program juga adalah amat penting kerana hal ini akan menonjolkan atau menggambar nilai atau sikap kita sebagai pelajar universiti. Melainkan sekiranya seseorang itu mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan atau dalam keadaan kecemasan.

17.1.11

Turun Naik Lif

Kisah ini berlaku pada 17 Januari 2011, seawal jam 6.45 pagi aku telah bergegas untuk turun dari tingkat lima  menuju ke foyer Blok 1 kolej dengan menaiki lif. Tiga minit kemudian lif pun terbuka dan aku lihat pekerja  yang membersihkan sekitar kolej sedang mengambil sampah-sampah yang dikumpulkan dari aras 9 ke aras satu.  menunggu di ruangan di kafeteria. Kelihatan seorang tua sedang menyapu sampah-sarap yang ditinggalkan oleh peniaga-peniaga semalam. Almaklumlah, bermula dari 13 Januari sampai 16 Januari kolej yang aku menginap ni telah diadakan Karnival. Jadi, ramailah para peniaga yang mengambil peluang berniaga di kolej ni. "apalah nak jadi dengan masyarakat zaman sekarang, buang sampah merata-rata. Mentang-mentanglah ada pekerja yang melakukan pembersihan. Tetapi tidak terfikirkah mereka, bahawa pekerja-pekerja ini juga ada perasaan, punya rasa penat. Inikan pula aku lihat, tukang sapu di sini sudah tua-tua belaka" bisik hati kecilku.  Setelah 10 minit menanti sahabatku, aku menuju ke perhentian bas untuk pergi kampus. Perjalanan dari kolej ke kampus dengan menaiki bas mengambil masa lebih kurang 10minit, belum lagi masuk sesi berebut-rebut naik bas memang meletihkan. Oleh sebab awal, jadi tak perlulah nak berebut-rebut. Setibanya di kampus aku bersama sahabat-sahabatku berjalan menuju ke bangunan E-Learning yang berdiri megah di kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris. Untuk menaiki tangga ke dewan Kuliah Di Bilik E-Learning amat memenatkan jadi aku dan sahabat-sahabatku menaiki lif. Bermula jam 8.00 pagi hingga jam 9.00 pagi kelas pertama kami disitu. Setelah itu kami bergegas pula ke Proton City yang jauhnya mengambil masa selama 20 minit menaiki bas, sedangkan kelas yang seterusnya bermula jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi. Namun, itu tidak terlalu membebankan kami kerana pensyarah memahami keadaan kami. Tapi sayangnya, ilmu yang dapat kami ikuti hanya 20 minit terakhir. Walaubagaimanapun semangat kami sangat kuat. Kelas seterusnya kami perlu berkejar semula ke kampus untuk kelas yang seterusnya. Masih lagi turun naik lif dan kejar atau terpaksa menunggu di dalam bas yang lewat bergerak.

Akan tetapi apa yang aku ingin sampaikan yang sebenarnya adalah sikap seorang insan yang tidak bertimbang rasa. Setelah kelas sosiolinguistik kami tamat pada jam 12.00 tengah hari, kami bergegas ke lif namun dihadapan lif tersebut terdapat juga pelajar-pelajar lain yang sedang menunggu lif tersebut. Akan tetapi lif tersebut sedikit bermasalah. Tidak lama kemudian lif tersebut terbuka dan seorang pensyarah keluar dari lif tersebut, setelah itu aku dan sahabat-sahabat yang sedang dalam kekalutan untuk pergi ke kelas yang seterusnya terus masuk ke dalam lif. Tiba-tiba, "boleh tolong keluar tak" terdengar suara garau seorang lelaki bagaikan memberi arahan kepada aku dan sahabat-sahabat yang lain keluar dan dalam masa yang sama pintu lif telah ditutup menyebabkan aku tidak dapat keluar daripada lif tersebut seperti mana yang diarahkan. Di dalam hati, aku tertanya-tanya siapalah lelaki ni? Pensyarahkah? Tapi tidak seperti pensyarah pun" aku hanya menundukkan kepala dan hanya mendengar apa yang lelaki tersebut perkatakan "Biadab betul budak-budak ni, tak boleh tengok orang senang" aku terasa muka aku menjadi panas dan lelaki itu meyambung lagi kata-katanya "Saya tak suka orang lain naik lif dengan saya. Lagipun diorang semua tadi tak tahu adabkah?"  "Maaf encik... errr.. tuan... kami semua tadi dalam keadaan kalut sebab lif ni tadi tak berhenti di aras tiga. Lagipun mereka semua tadi semua nak cepat berkejar kelas yang seterusnya" "tak kira la apa-apapun, yang penting beradab la bila dah tengok ada orang dalam lif" 'hah! tak silap aku dia seorang saja dalam lif ni. masih muat jika orang lain juga ingin masuk. Besar sangatkah pangkat dia sehinggakan orang lain tidak boleh menaiki lif bersama dengan dia?' aku hanya mampu mengkritik di dalam hati. Aku menarik nafas lega apabila pintu lif terbuka dan lelaki angkuh itu hilang dari pandangan.

7.1.11

Kehidupan Penuh Tanda Tanya Menjadikan Kita Sentiasa Berfikir

Setiap hari apabila kita melakukan aktiviti diluar rumah, pergi bersiar-siar, menaiki bas ke kuliah dan sebagainya. tentu sekali kita akan melihat pelbagai ragam masyarakat disekeliling kita, ada yang sedang berjalan sambil termenung, ada yang berjalan seiringan dengan kawan-kawan sambil bergelak ketawa ada yang berpasangan dan ada juga yang bersendirian. Pelbagai ragam yang boleh kita perhatikan. Tidak kurang juga di dalam siaran televisyen turut memaparkan cerita-cerita yang mengisahkan kehidupan masyarakat yang pelbagai ragam. Segala gambaran masyarakat inilah yang dinamakan lakonan kehidupan. Kehidupan umpama masakan ada masam, masin, manis, tawar, payau, kelat, pahit dan sebagainya. Kehidupan juga ibarat pelangi berwarna-warni. Hargailah kehidupan kita selagi Allah masih memberikan pinjaman nyawa kepada kita. rasailah setiap peristiwa yang berlaku pada kita dengan tabah, sabar dan dengan rasa penuh kesyukuran. terkadang kita melihat dan beranggapan bahawa orang yang sentiasa memberikan senyuman dan ketawa girang itu gembira dan dengan kehidupannya, tanpa kita sedar ada duka yang terselit dalam dirinya. Kehidupan ini tercipta dengan penuh cerita dan cerita itu memberi peluang kepada kita yang waras untuk berfikir dan berzikir.





1.1.11

Kembali

Setelah 4 minggu bercuti, kini keputusan peperiksaan yang lepas telah pun dikeluarkan. Tahun juga sudah baru, telah masuk tahun 2011. Bermula tahun ini, semester ini aku perlu menambah dan meningkatkan usaha, berganda-ganda. Persoalannya, mampukah? InsyaAllah, dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Aku berharap semua insan yang mengenali diriku ini sentiasa mendoakan aku Aku dikategorikan bukanlah seorang yang hebat dalam pelajaran berbanding teman-teman yang lain. sejak dari sekolah rendah, ke sekolah menengah hinggalah sekarang aku masih sama. Apa yang aku tahu, diriku merupakan seorang yang suka mencuba. Namun, sebelum mencuba aku perlu berfikir. berfikir baik dan buruk sesuatu perkara. Aku harus akui kita sebagai manusia hanya merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Oleh itu, Azam yang kuat harus aku tanamkan. kalau sekadar tanam sahaja tapi tidak dibajai ia tidak membawa sebarang makna atau tidak akan mnembuahkan hasil. Azam tambah perancangan diikuti dengan usaha dan doa.

Bermula tahun ini, aku bangkit kembali, aku ingin berusaha bersama teman-teman untuk belajar sehabis baik menjadi seorang insan yang berguna. Suatu hari nanti kami akan menjadi guru, dan pada tahun ini juga bermula Mei 2011 kami akan mengikuti Latihan Mengajar (LM). sesuatu yang menggerunkan dan  menakutkan apabila mengenangkannya. Kami pelajar ambilan Julai 2008/2009 juga merupakan kelompok yang pertama yang akan mengikuti latihan mengajar pada semester 7 dan akan kembali ke UPSI untuk mengikuti kuliah semula pada semester 8, pada September 2011. Oleh itu, Semester ini iaitu semester 6 merupakan tahap persediaan yang terakhir untuk membuat persediaan mengikuti latihan mengajar.