20.1.11

Jalan-jalan

Aquaria KLCC


Hari ini hari Khamis, merupakan Cuti sempena sambutan Hari Thaipusam dan aku mengambil kesempatan pada hari ini untuk pergi berjalan-jalan. Tepat jam 9.00 pagi aku menaiki kereta menuju ke Air Terjun Hutan Simpan, Batang Kali. Air Terjun Ini terletak di tepi jalan menuju ke Genting Highland. Airnya yang sejuk, kawasannya yang aman dan nyaman sangat indah  dan menarik untuk sesiapa sahaja yang ingin merehatkan minda sambil mandi-manda. Perjalanan dari kolej ke Air Terjun tersebut mengambil masa selama 1 jam. Tiba di kawasan air terjun tersebut pada jam 10.15 pagi kerana keadaan sedikit sesak mungkin kerana waktu cuti yang menyebabkan orang ramai berkunjung ke sana. Setelah puas manda-manda, pada jam 1.00 petang aku pun menuju ke Kuala Lumpur, pada awalnya tujuan untuk ke Kuala Lumpur hanyalah untuk berjumpa dengan adikku di UTM Semarak, akan tetapi disebabkan adikku ingin pergi ke Batang Kali untuk bertemu dengan keluarga angkatnya maka aku hanya bertemu dalam masa yang singkat sahaja. Setelah bertemu dengan adikku, aku menuju ke bandaraya Kuala Lumpur. Aku telah pergi ke Menara KLCC untuk berjalan-jalan dan mengambil peluang untuk masuk ke Aquaria KLCC. Pertama kali masuk ke sana aku lihat ramai pengunjung yang terdiri daripada keluarga yang membawa anak-anak. Oleh kerana kali pertama aku berkunjung ke sana, maka aku masih tidak tahu di mana kaunter untuk membeli tiket. Disebabkan itu aku telah menuju ke kaunter pertanyaan untuk bertanya, bak kata orang tua-tua dulu malu bertanya sesat jalan. Oleh itu aku melangkah ke kaunter pertanyaan dan berlakulah sesi dialog antara aku dan penjaga kaunter:

Aku: Maaf, saya ingin bertanya di manakah kaunter pembelian tiket?
Penjaga kaunter: Cik jalan je depan sana nanti cik akan jumpa.
Aku: Hah! ( suara yang sedikit perlahan dan dengan rasa terkejut) tu saja? Nak belok kiri ke belok kanan?
Penjaga Kaunter: Saya dah terangkan tadikan cik pergi sajalah.

Aku pun berpusing dan melangkah untuk pergi. Tiba-tiba, seorang pengawal keselamatan datang menghampiri.

Pengawal: Maaf ye kak. Penjaga kaunter tu memang sombong sikit. biar saya tunjukkan kaunter tiket. 
Akak jalan terus dan akan jumpa pengawal di sana. Dia akan tunjukkan jalan masuk ke kaunter tiket.
Aku: Alhamdulillah, masih ada yang berbudi. ( aku memberikan senyuman kepada pengawal tersebut) Terima Kasih ya dik.

Tak kisahlah pengawal tersebut nak panggil aku akak pun. Agaknya muka aku ni sedikit matang. Apa yang penting pengawal tersebut sangat berbudi bahasa jika dibandingkan dengan wanita yang berada di kaunter pertanyaan tadi. Aku menuju ke jalan yang ditunjukkan oleh pengawal tersebut dan akhirnya aku bertemu dengan pengawal yang menjaga pintu masuk ke kaunter tiket masuk. Setelah membuat bayaran masuk, laluan masuk pertama aquaria tersebut terdapat pameran tiga jenis ikan di dalam tiga kolem kecil yang berasingan. Kolem yang pertama terdapat ikan pasir, yang kedua aku tidak pasti namanya dan yang ketiga juga ikan pasir namun coraknya yang berbeza. Di situ terdapat seorang petugas yang menerangkan keunikan ikan tersebut. aku berjalan sedikit ke depan dan aku lihat terdapat akuarium-akuarium kecil yang mempunyai ikan-ikan lain. Terdapat beberapa akuarium yang di letakkan tanda peringatan 'Bahaya". Hal ini kerana, ikan yang terdapat dalam akuarium tersebut adalah ikan Belut elektrik yang mengeluarkan tenaga elektrik yang sangat tinggi yang bahaya. setelah itu aku menuju lagi ke sebuah lorong yang mempunyai pelbagai jenis hidupan yang tinggal di dalam air. Yang paling menakutkan dan menggelikan aku adalah haiwan reptilia dua alam iaitu katak. Disebabkan terlalu takut aku terjerit agak kuat. kebetulan di lorong tersebut hanya ada aku berdua bersama temanku dan sebuah keluarga yang amat bahagia. Keluarga tersebut terdiri daripada lapan orang. Pasangan Suami Isteri dan enam orang anak-anaknya. Dua orang kanak-kanak lelaki dan empat orang kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak lelaki yang menyedari keadaan aku yang sedang takut dan geli itu ketawa sambil berkata "hahaha, kakak tu geli katak. Jom kita usik kakak tu" "Alamak, macam mana mereka perasan?" aku hanya berbisik. Namun telatah mereka tidak membuatkan aku marah atau berkecil hati kerana dalam masa yang sama mereka sangat peramah dan bersopan santun. Setelah mereka mengenakan aku dan mereka telah meminta maaf dan kata mereka, mereka hanya bergurau. Walaupun tidak mengenali mereka namun telatah mereka membuatkan aku bagaikan bersama keluargaku walaupun hanya dalam masa yang singkat. Aku dapat melihat bahawa ibu dan ayah mereka sangat pandai mendidik mereka.



Ulasan: 
Situasi ketika di kaunter telah menunjukkan bahawa masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak tahu untuk menggunakan cara berkomunikasi yang betul dan sopan apabila seseorang bertanya di kaunter. Benarlah kata Dr. Hj Zulkeflee ketika ucapan beliau semasa majlis perjumpaan yang lepas menyatakan bahawa, bengkel atau seminar tentang 'Budi Bahasa Budaya di Kaunter' perlu diadakan. Hal ini kerana, sesuatu perkara itu perlulah ditekankan dengan memberikan pengetahuan secara mendalam dan perkara seperti menggunakan bahasa yang sopan dan berbudi bahasa perlulah dikembangkan kepada mereka agar mereka dapat memperbetulkan kesilapan ketika melakukan kerja.

No comments:

Post a Comment