Hari yang penuh bersemangat. Kenapa? hari ini aku rasakan hari yang bermakna kerana aku bersama sahabat-sahabatku akan mengikuti sebuah seminar yang bertajuk Isu-isu Sosiolinguistik Bahasa Melayu Semasa yang disampaikan oleh Profesor Adjung Universiti kami iaitu Profesor Dr. Awang Sariyan. Seminar tersebut telah bermula pada jam 9.00 pagi, bertempat di Dewan Seri Tanjung Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau telah membincangkan penggunaan bahasa SMS yang banyak digunakan pada masa sekarang dengan meluas. Antara bahasa SMS yang digunakan adalah leh, tanak, sape dan chat. Selain daripada itu juga, penggunaan bahasa yang dicampuradukkan dengan bahasa asing seperti leh join dan study ke.
Ulasan:
Saya berasa bersyukur kerana diberi peluang untuk bertemu dan mendengar seminar yang telah dianjurkan oleh pensyarah Sosiolinguistik kami Dr. Siti Saniah. Hal ini kerana, dengan adanya seminar seperti ini akan dapat meluaskan pengetahuan dan membuka minda kami untuk lebih banyak berfikir tentang masalah yang dihadapi oleh masyarakat tentang penggunaan bahasa. Contohnya penggunaan bahasa SMS sememangnya sangat meluas digunakan oleh masyarakat kita. Malahan kami juga kadang kala menggunakan bahasa SMS dan bahasa rojak kerana bahasa tersebut telah sebati dalam diri kami. Akan tetapi, kita haruslah sedar bahawa untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kita, maka seharusnya kita menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dengan baik dalam penggunaan seharian kita. Majulah bahasa kerana bangsanya. Cintailah bahasa kebangsaan kita, bahasa ibunda, bahasa Melayu milik kita semua.
No comments:
Post a Comment