28.2.11

Jalan-jalan di Pekan

Jalan-jalan di Pekan
Setelah penat berjalan, aku bersama temanku telah menuju ke Mesin ATM Bank Islam untuk mengeluarkan sedikit wang. Kelihatan pada waktu itu ramai juga orang yang sedang beratur. Oleh itu, aku mengambil barisan dibelakang seorang lelaki untuk menunggu giliran mengeluarkan wang. Tidak lama kemudian, datang seorang lelaki datang dihadapanku dan memotong barisan. Aku menjadi sedikit marah tetapi masih lagi boleh bertahan.  “lelaki tersebut berpaling kearahku dan berkata, “maaf, saya nak cepat” aku hanya membalas dengan senyuman.  Setelah mengeluarkan wang, aku bersama temanku menuju ke tempat menunggu bas. Namun, bas yang kami tunggu lambat tiba dan aku bersama temanku pergi mendapatkan kereta sewa.  Ketika sedang menaiki teksi tersebut aku berbual-bual dengan sahabatku. Di dalam perbulan tersebut aku telah menggunakan perkataan ‘berbagai’. Mungkin pada ketika itu kawan saya perasan atau terdengar tentang kesalahan bahasa yang telah saya lakukan.
Dalam situasi tersebut, saya menggunakan perkataan “berbagai” tanpa menggandakannya. Sepatunya perkataan “berbagai” perlu digandakan menjadi “berbagai-bagai” ataupun gunakan sahaja perkataan “pelbagai” untuk menunjukkan perkara yang bermacam-macam. 

Pada pendapat saya, kita hendaklah mempunyai kefahaman tentang bahasa dan menggunakan bahasa dalam kehidupan seharian dengan baik supaya tidak menimbulkan tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat. Selain daripada itu juga, sekiranya kita terdengar sesuatu kesalahan yang telah dilakukan oleh orang lain seharusnya kita menegurnya, kerana nasihat dan teguran itu adalah ilmu yang berguna.

27.2.11

Burung Hantu

Hari ini, aku menuju pula ke Downtown Cheras. Ini juga merupakan pengalaman pertamaku menjejakkan kaki ke tempat tersebut. Jika dulu, mak dan ayah selalu cerita, orang tua dulu-dulu tak benarkan budak-budak keluar malam. Tetapi sekarang, tak kira tua atau muda, kecil atau besar, pada jam 2 hingga 5 pagi bukanlah waktu untuk tidur atau berehat. Tetapi waktu tersebut untuk berjalan-jalan dan bersantai. Tidak dihiraukan jika yang berjalan-jalan pada jam 12 malam hingga 5 pagi adalah terdiri daripada orang tua atau orang muda yang berumur  18 tahun ke atas. Apa yang pelik adalah kanak-kanak dan juga bayi turut dibawa berjalan-jalan seawal pagi tersebut. Sedangkan semua orang tahu bahawa, kanak-kanak memerlukan tidur yang cukup untuk membesar dengan sihat.  Berada ditempat sebegini menjadikan aku menilai pelbagai perkara. 

26.2.11

Kata Majmuk

Apabila kita pandai bertutur bukan bermakna kita pandai dalam bahasa sepenuhnya. Oleh hal yang demikian, sebagai seorang insan kita sentiasa diingatkan agar tuntutlah ilmu hingga sampai ke negeri China. Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara apabila sesuatu itu memberikan faedah yang baik kepada kita, itulah ilmu. Maka, apabila kita memperoleh sesuatu ilmu haruslah kita berkongsi dan menyebarkannya. Jadi di sini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang penggunaan kata majmuk.

Kata majmuk mantap merupakan kata yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan utuh walaupun terdiri daripada dua kata dasar. Perkataan-perkataan yang tergolong dalam kata majmuk di atas adalah seperti di bawah. Selain daripada perkataan tersebut ejaannya dieja terpisah.

            Antarabangsa
            Bumiputera
            Jawatankuasa
            Kakitangan
            Kerjasama
            Warganegara
            Olahraga
            Pesuruhjaya
            Setiausaha
            Sukarela
            Suruhanjaya
            Tandatangan
            Tanggungjawab
            Matahari
            Beritahu

Moga saya tidak embuat kesilapan tentang ayat majmuk lagi. J

25.2.11

Susah Sangat ke Nak Menuturkan Maaf

Sedang aku berdiri di dalam bas menuju ke kampus, tiba-tiba aku dilanggar oleh seorang gadis yang comel dan cantik. “jap ye nak lalu” sambil menunjukkan muka yang masam. aku sekadar tersenyum dan memberikan laluan. Namun bahuku sakit kerana dilanggar gadis tersebut. Di dalam hatiku terus terdetik ‘di mana nilai untuk menjadi seorang pendidik. Moga ini menjadi pengajaran buatku’.

Apabila kita melakukan kesilapan kepada sesiapa sahaja tentunya kita akan meminta maaf atas kesilapan yang kita lakukan. Namun, sukarnya kini untuk menuturkan maaf. Mungkinkah kerana ego atau status yang tinggi menjadikan seseorang susah untuk mengeluarkan kata-kata tersebut.  “maafkan saya, boleh saya tumpang lalu” dengan senang hati laluan akan diberikan. Maaf bukan bermakna kita merendahkan martabat kita tetapi ia menunjukkan kesopanan dan kesantunan kita. 

24.2.11

Simpulan Bahasa- sebagai Sindiran.


Simpulan bahasa mempunyai pelbagai jenis antaranya, simpulan bahasa yang mempunyai dua makna dan simpulan bahasa yang berlainan tetapi membawa makna yang sama.  Simpulan bahasa banyak menerangkan berkenaan sikap dan perangai seseorang. Simpulan bahasa juga turut digunakan untuk menyatakan sindiran atau pujian. Contohnya muka tembok digunakan untuk menyindir seseorang yang tidak mempunyai perasaan malu. Antara simpulan bahasa yang lain yang membawa makna yang sama dengan muka tembok adalah muka talam dan muka tebal. Namun, pada pandangan saya simpulan bahasa turut bergantung maksudnya dengan penggunaannya dalam konteks ayat. Contoh, “Aku terpaksa menebalkan muka untuk pergi berjumpa dengan Yang Berhormat untuk memohon bantuan dan tajaan” Perkataan menebalkan muka atau tebal muka bukanlah menunjukkan bahawa seseorang itu tidak mempunyai perasaan malu tetapi dia berada dalam keadaan terpaksa untuk melakukan perkara sedemikian.

22.2.11

Bijaksana Masyarakat Berdasarkan Alam


Penggunaan peribahasa merupakan satu perlambangan yang sangat indah dan menarik. Hal ini kerana kata-kata dalam peribahasa banyak menggunakan perkataan-perkataan yang terdiri daripada alam semula jadi seperti pokok, daun, air, dan angin.  Bahasa yang digunakan dalam peribahasa juga sangat halus dan sopan. Kebijaksanaan masyarakat dahulu kala dibuktikan dengan cara mereka menganalogikan alam semula jadi dengan sikap dan perangai manusia. Contohnya “sekilas ikan di air sudah kutahu jantan betinanya” peribahasa ini menunjukkan bahawa gambaran kepada seseorang yang bijak dalam menelah buka sahaja daripada sikap luaran malahan juga sikap dalaman yang terdapat dalam diri seseorang.  Benarlah dengan sebuah petikan kata-kata yang pernah aku baca dalam sebuah majalah yang menyatakan bahawa “lihatlah alam yang Allah ciptakan maka berfikirlah dan jika kita menggunakan fikiran yang waras kita akan mendapat hasilnya” dan “Keindahan alam semula jadi adalah ciptaan yang penuh keseniaan dan banyak ilmu yang kita boleh pelajari”  melalui kata-kata tersebut menunjukkan bahawa masyarakat zamn dahulu banyak mempelajari sesuatu dalam kehidupan dengan melihat alam sekelilingnya. Mereka melihat hutan, sungai rumput dan haiwan dan mereka memperolehi pelbagai ilmu tentang kehidupan untuk diwarikan kepada kepada anak cucu sehingga kini.

Namun kini, apa yang kita lihat alam semula jadi kian musnah. Sampah sarap dibuang merata-rata.  Biarpun tong-tong sampah diletakkan di merata-rata tempat tetapi masih lagi ada tangan-tangan yang tidak menggunakan akalnya untuk berfikir dengan baik. Mereka membuang sampah dicelah-celah meja dan kerusi. Tanpa mereka sedar sebenarnya ada mata yang melihat dan ada mata yang sedang menilai.

21.2.11

PENGGUNAAN PERIBAHASA DALAM BAHASA MELAYU



Peribahasa merupakan satu keindahan bahasa. Keindahan ini tercipta daripada kesenian Melayu yang berkurun lamanya. Peribahasa digunakan untuk sidiran, memberikan nasihat, kata-kata semangat dan sebagainya.  Indah bangsa kerana bahasanya merupakan kata-kata yang sangat kuat menunjukkan bahawa indahnya bangsa kita yang pandai menjaga hati dan perasaan orang lain dengan menungkapkan peribahasa yang ringkas tapi penuh dengan isi yang berguna. Selain itu juga, peribahasa merupakan bukti yang menunjukkan bahawa masyarakat  Melayu merupakan masyarakat yang bijaksana dan penuh kelembutannya. Contoh apabila ingin menegur perlakuan seseorang yang suka mengumpat atau mengata orang  bahasa yang digunakan adalah peribahasa yang berbunyi, ‘paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’. Bahasa yang digunakan ringkas namun padat dengan pandangan dan nasihat. 

Peribahasa ini juga turut digunakan sehingga kini. Hal ini mengingatkan aku kembali pada perbualan aku bersama teman-teman serumahku pada awal pagi tadi. Disebabkan pada hari Rabu kelas tidak begitu padat, aku bersama teman serumah berkumpul di ruang tamu rumah untuk berbual-bual.  Sedang kami berbual-bual, seperti biasa tentunya ada cerita yang menarik perhatian.  Sehinggakan salah seorang daripada kami menegur dan mengingatkan kami dengan menggunakan peribahasa tersebut tetapi dengan menukarkan sedikit kata-kata dalam peribahasa tersebut menjadikan kami tergelak beramai-ramai. “paku dulang paku serpih mengata orang kita jangan lebih-lebih”. Namun apa yang ingin disampaikannya membuatkan kami faham bahawa dia mengingatkan kami bahawa tidak terlebih berkata-kata agar perkara yang telah dilakukan oleh orang lain tidak kami ulangi tetapi dijadikan pengajaran.

20.2.11

Di I-City


“Semakin jauh perjalanan semakin luas pengalaman” teringat aku dengan peribahasa ini membuatkan aku tersenyum sendirian. Perjalanan yang tidak dirancang akhirnya aku sampai ke Shah Alam menuju ke rumah saudaraku. Lewat malam, pada jam 12.30 malam kami telah pergi ke I-City. Pertama kali aku melangkah ke sana, kelihatan ramai pengunjung di sana yang rata-ratanya bersama keluarga mereka. Kawasan yang amat menarik dikunjungi pada waktu malam kerana dipenuhi dengan replika pokok-pokok, bunga-bungaan dan haiwan-haiwan yang diterangi lampu berwarna-warni.

Terdapat juga pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sana antaranya menunggang kuda. Namun, apa yang menyedihkan kuda yang digunakan untuk menunggang hanya seekor kuda. Kuda tersebut melakukan berulang-ulang pusingan dengan penunggang yang berlainan sehinggakan aku lihat kuda tersebut telah tercedera. Di mana perikemanusiaan kita? Kerana terlalu tamak tanpa kita sedar kita telah menzalimi haiwan. Sehinggakan anak sepupuku yang berumur  tiga tahun, bersama-sama aku melihat keadaan tersebut berkata, “Kesiannya kuda tu, kaki dah sakit tapi tuan dia suruh juga dia jalan”.  Di mana hati budimu manusia? Sehingga kau sanggup melakukan sedemikian rupa.  Sedarlah manusia yang punya akal yang waras, haiwan juga punya rasa sakit dan letih.

19.2.11

Simpulan Bahasa


Suatu petang yang indah di ruang rumah, kolej kediaman Kolej Harun Aminurrashid. Sedanng aku bersama teman serumahku duduk di meja makan beramai-ramai sambil menikmati hidangan air milo panas. Tiba-tiba salah seorang dari temanku bersuara “hm... bosannya. Kalau kita ni sememangnya dah kaki jalan memang jadi cepat bosan bila duduk terperap dalam rumah” lalu aku bersuara “kenapa tak pergi keluar jalan-jalan kalau dah kaki jalan? Hehe..” “ala.. Kak Wani tu kaki jalan jugakkan...” aku hanya tergelak dengan kata-kata tersebut.  Si J pula berkata “nak pergi jogging kita ni kaki bangku. Hahaha....” “amboi, ye la tu kaki bangku” kata kataku sambil tergelak-gelak.

Berdasarkan situasi di atas, kebanyakan kata-kata yang terdapat dalam perbualan kami banyak menggunakan simpulan bahasa. Simpulan bahasa yang digunakan pula semua bermula dengan perkataan kaki. Makna perkataan kaki yang digunakan dalam simpulan bahasa membawa makna perkara yang biasa dilakukan oleh seseorang atau kerap dilakukan. Selain itu juga kaki dalam simpulan bahasa turut membawa maksud perangai atau sikap. Contoh simpulan bahasa yang menggunakan perkataan kaki adalah kaki bangku, kaki botol dan kaki judi.

18.2.11

Pencemaran


Hari ini merupakan Sambutan Hari Maulidurrasul.  Aku telah pergi ke Kuala Lumpur untuk mengikuti program perjumpaan rakan-rakan zaman persekolahanku.   Kami telah pergi ke Serdang untuk berjalan-jalan mencuci mata di ‘The Mines’. Di dalam bangunan tersebut  terdapat laluan air di yang mempunyai pelbagai jenis ikan antaranya ikan Keli Afrika dan ikan Talapia. Ketika kami sedang bersantai di tepi kolam, kami dapati terdapat papan tanda yang bertulis “Dilarang Memberikan Makanan Kepada Ikan”. Namun apa yang menghairankan, kebanyakan pengunjung di situ seperti tidak memahami tanda amaran tersebut. Di sebabkan kedegilan itu, aku lihat air kolam tersebut tercemar. Apa yang menyedihkan lagi, Papan amaran tersebut bukanlah ditulis dalam bahasa Melayu sebenarnya tetapi ditulis di dalam bahasa Inggeris.

Ulasan: Bagi pendapat saya mungkin kebanyakan pengunjung tidak memahami arahan tersebut. Manakala pihak pengurusan kawasan tersebut tidak menghiraukan kebersihan di kawasan tersebut. Bukan sahaja kawasan tersebut mempunyai pencemaran bahasa malahan juga pencemaran alam.

17.2.11

Penggunaan kata ganti diri


Di dalam pertuturan seharian, kita banyak menggunakan kata ganti nama. Namun adakah kata ganti nama yang kita gunakan betul. Perkataan-perkataan yang biasa kita gunakan kata ganti nama adalah diorang, korang, depaorang, lu, dan gua. Kata ganti nama seperti ini biasa digunakan oleh kita apabila kita berbual-bual tentang sesuatu perkara bukan dalam keadaan bukan formal. Pada hakikatnya, tanpa kita sedari kita telah pun mencemarkan penggunaan bahasa kita.  Kadang-kala kita terbawa-bawa sehingga ke dalam kelas terutama ketika membuat pembentangan.

Ulasan: Seharusnya kita sebagai masyarakat Malaysia terutama masyarakat Melayu perlu mengamalkan penggunaan bahasa yang betul agar bahasa kita tidak tercemar.