18.3.11

Dua Situasi

Bahasa Iklan

Bahasa iklan merupakan bahasa yang ringkas dan padat. Namun, terdapat beberapa iklan yang salah menggunakan perkataan sehingga iklan yang ingin disampaikan tidak dapat difahami oleh pengguna. Contohnya, Apabila saya terbaca sebuah iklan yang terdapat dalam sebuah akhbar. Iklan tersebut telah mempromosikan jualan kereta jenama tempatan. Namun, terdapat sebaris ayat yang salah. Ayat tersebut ialah “ Datanglah segera. Harus milik sekarang”.
Harus milik sekarang’ merupakan satu perkataan yang salah kerana membawa makna yang sukar difahami dan membawa makna yang berbeza. Sepatutnya, ayat yang betul yang harus digunakan dalam iklan ini adalah harus milikinya sekarang yang membawa makna penegasan kepada pembaca bahawa produk yang dipromosikan oleh mereka dapat dimiliki oleh pengguna. Namun, jika mereka menggunakan ayat harus milik sekarang akan membawa makna harus merupakan milik sekarang. 



Batik Melambangkan Budaya Kita

Hari ini saya terbaca satu artikel tentang batik. Berikut merupakan keratan artikel yang saya ambil,
Industri batik negara bernafas semula Oleh Pauzi Mohd Isa

Apa yang selama ini menjadi identiti bangsa sebagai warisan tradisi wajar dipertahankan terutama membabitkan seni dan budaya tempatan. Contohnya seni batik tempatan yang terkenal bagi masyarakat Melayu suatu ketika dulu.

Seperti diketahui jiwa sesuatu masyarakat selalunya digambarkan menerusi seni yang dihasilkan, apa lagi menjadi lumrah sifat manusia suka menerangkan sesuatu menerusi seni.

Kita perlu akui hakikat seni dan budaya tempatan adalah komponen penting yang perlu dipertahankan ketika Malaysia menuju ke arah menjadi negara maju.

Pemimpin kita sering menyatakan kebimbangan dengan penghayatan masyarakat terhadap kesenian dan budaya tempatan yang semakin menurun. Tidak ada gunanya jika Malaysia maju dengan mengambil kira nilai asing yang ada kalanya bertentangan dengan budaya dan ajaran Islam.

Sehubungan itu, langkah kerajaan mewajibkan pemakaian batik kepada kakitangan awam dan anggota pentadbiran negara kecuali anggota badan beruniform seperti polis setiap Sabtu berkuat kuasa 1 November lalu adalah antara tindakan bijak dan tepat pada masanya demi memperkasa seni tempatan negara.

Usaha ini bukan saja memartabatkan kembali seni batik, ia sekali gus menjadi wahana kepada pembangunan perusahaan batik tempatan secara menyeluruh di negara ini yang keadaannya kini bagaikan hidup segan mati tak mahu.

Sabtu, 27 November lalu lebih 900,000 kakitangan awam di seluruh negara mula mengenakan persalinan batik ke pejabat bagi memenuhi arahan kerajaan itu sebagai pakaian rasmi pada Sabtu bekerja.

Dalam pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 9 November lalu, ia telah menggariskan bahawa batik yang hendak dipakai mestilah batik keluaran tempatan.

Ketika merasmikan festival batik di Kuala Lumpur Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata sudah sampai masanya industri batik tempatan yang kita usahakan secara turun temurun, kembali berdaya maju seperti yang pernah dilalui sebelum ini, dan batik pernah menjadi industri utama orang-orang kita (Melayu) terutama di sebelah Pantai Timur.

Bertitik tolak dari festival batik itu, ia telah membuka lembaran baru kepada industri ini. Apatah lagi mendapat sokongan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Endon Mahmood, juga penaung Pergerakan Batik Malaysia bagi merangka tindakan ke arah membawa batik kita ke persada dunia.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata arahan pemakaian batik selaras usaha kerajaan menyokong mengembangkan industri batik di negara ini. Ia sekali gus mempopularkan semula pakaian itu yang semakin dilupakan.

Rentetan itu, hasrat kerajaan akan merangka dasar khusus mengenai pembangunan industri batik bagi menonjolkan identiti warisan bangsa itu pada peringkat nasional mahupun antarabangsa, amat dialu-alukan demi memelihara warisan budaya sezaman kita.

Hal yang demikian telah memberi petanda positif kepada industri batik yang biasanya diusahakan secara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang selama ini semakin malap jika sesuatu tidak dilakukan oleh kerajaan.

Sesungguhnya, langkah mewajibkan pemakaian batik telah memberi nafas baru kepada perkembangan industri batik negara untuk berkembang maju. Dengan ini ia diharap dapat meningkatkan ekonomi pengusaha batik secara kecil-kecilan khususnya di luar bandar yang kebanyakannya dipelopori orang Melayu di Pantai Timur.

Melihat kembali sejarah dan asal-usul batik, Ila Keller dalam bukunya, Batik: The Art and Craft, menyatakan seni batik berasal dari Mesir sebelum tersebar ke Iran sejak lebih 2,000 tahun dulu.

Di rantau Asia Tenggara, batik mula diusahakan oleh penduduk Indonesia sehinggalah pada kurun ke-17 apabila Kesultanan Mataram memilih batik sebagai pakaian rasmi dalam adat istiadat istana.

Sejarah industri batik di Malaysia pula mula dirintis pada 1911 oleh seorang rakyat Kelantan, Su Ishak yang membawa pekerja dari Indonesia untuk bekerja di bengkel batiknya sehinggalah ia berkembang hingga ke hari ini.

Justeru, sebagai warisan tradisi khazanah budaya bangsa, seni batik perlulah dipelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus dilupakan generasi selepas ini.

Sejak dulu, fungsi batik tidak pernah berubah iaitu sebagai busana bagi kaum Hawa dalam menggayakan apa saja fesyen yang digemari mengikut peredaran zaman.

Di kalangan kakitangan awam, tradisi pemakaian batik pernah dilaksanakan ketika kepemimpinan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sehingga batik ketika itu terputus bekalan berikutan sambutan cukup memberangsangkan daripada pekerja awam.

Ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau pernah menggalakkan kakitangan awam memakai batik pada Sabtu bekerja tetapi amalan ini seketika saja apabila ia lenyap secara beransur-ansur tanpa disedari.

Selain meningkatkan tahap ekonomi pembatik sedia ada di negara ini yang rata-ratanya pengusaha Melayu, industri ini juga berpotensi menarik kedatangan pelancong ke Malaysia dan sekali gus menyumbang kepada kemajuan industri pelancongan negara.

Ternyata, arahan kabinet ini dapat memberi sinar baru kepada pengusaha batik tempatan agar mereka dapat menghasilkan produk yang lebih ke hadapan terutama dari segi jenis corak dan cara penghasilan produk sejajar kehendak semasa. Ini penting supaya ia sesuai dengan cita rasa pemakai zaman ini.

Sejak enam tahun lalu, kegemilangan industri batik negara mula merudum berikutan kesan langsung daripada kegawatan ekonomi yang teruk pada 1997. Industri batik negara pada pertengahan 1990-an berada dalam keadaan tenat dan bermasalah.

Ramai pengusaha batik tidak dapat menjelaskan hutang bank menyebabkan perniagaan ini tidak dapat diteruskan akibat kerugian. Bekalan batik pula tidak mendapat permintaan menggalakkan daripada orang ramai dek tempias ekonomi dunia yang mengalami kegawatan yang teruk ketika itu.

Langkah mewajibkan pemakaian batik diharap dapat membantu industri batik terus bertahan dan berkembang pesat seiring peredaran zaman dengan proses tranformasi kepada penghasilan batik yang lebih canggih dan berkualiti.

Selama ini pun, industri batik hanya diusahakan di kampung terutama di Terengganu dan Kelantan. Ia belum mampu menembusi tembok gedung pakaian bukan milik kerajaan melainkan hanya dipamerkan di gerai kaki lima dan di kompleks beli-belah Mara.

Berikutan perhatian yang diberikan oleh kerajaan, selepas ini diharapkan produk batik tradisional kita dapat dipamer dan dipasarkan ke serata tempat, termasuk ke pasar raya dan gedung pakaian terkenal sebagaimana dilakukan pengusaha pakaian bukan Melayu selama ini.

Batik tradisional mempunyai makna simbolik berdasarkan status sosial pemakai dalam masyarakat daerah tertentu. Lagi pun, seni batik dapat menggali aneka budaya tempatan sehingga masyarakat mula melihat batik sebagai alternatif untuk digunakan secara lebih meluas.

Oleh itu, tugas kita sekarang adalah menyambut baik arahan kerajaan supaya memakai batik pada setiap Sabtu bekerja bagi kakitangan kerajaan atau swasta dan juga ketika menghadiri sesuatu majlis.

Pihak berkaitan pula seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia perlu bekerja keras untuk mempromosi batik, di samping hasil kraf lain agar ia terus mendapat tempat dalam kalangan orang luar, khususnya pelancong asing.

Sayugia diingatkan, jika bukan kita menyokong industri batik sebagai salah satu akar budaya kita, siapa lagi? Jika orang luar sanggup bersusah payah datang menuntut ilmu mengenai cara pembuatan batik, mengapa warga kita sendiri memandang sebelah mata khazanah ini daripada terus hanyut ditelan masa.



Ulasan: Berdasarkan petika tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa, budaya Melayu sangat tinggi nilainya. Begitulah juga dengan bahasa, apabila kita tidak lagi menggunakan bahasa kita dengan baik lama-kelamaan ia akan mati ditelan zaman hingga menyebabkan generasi akan datang lupa pada asal-usul mereka.

No comments:

Post a Comment